(Dari kiri) Pengasas & Ketua Ahli Strategi Perniagaan Bizsphere Sdn Bhd merangkap Ketua Ekosistem Smart4WRD Yap Keng Teck, Rahman, Zafrul, Ketua Setiausaha MITI Dato’ Hairil Yahri Yaacob dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Azizi Mustafa pada majlis MSMA 2025.
(Dari kiri) Pengasas & Ketua Ahli Strategi Perniagaan Bizsphere Sdn Bhd merangkap Ketua Ekosistem Smart4WRD Yap Keng Teck, Rahman, Zafrul, Ketua Setiausaha MITI Dato’ Hairil Yahri Yaacob dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Azizi Mustafa pada majlis MSMA 2025.

Oleh Nurin Abdullah

KUALA LUMPUR: Malaysia Smart Manufacturing Awards (MSMA) 2025 telah mengiktiraf 27 pengeluar dan penyedia teknologi Malaysia yang cemerlang atas pencapaian mereka dalam memajukan agenda Industri 4.0 negara.

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Menara MATRADE pada Isnin itu telah disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang.

Memasuki tahun kedua penganjurannya, MSMA 2025 merupakan inisiatif awam-swasta yang dianjurkan bersama oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Bizsphere Sdn Bhd, dengan kerjasama Smart4WRD, sebuah rangkaian komuniti yang mewakili ekosistem pembuatan pintar Malaysia serta disokong oleh MITI.

Anugerah tahunan ini bertujuan menghargai pengeluar yang berjaya mengadaptasi teknologi pintar dan amalan inovatif, sekali gus membolehkan mereka berkembang ke pasaran baharu dan mengukuhkan integrasi dalam rantaian bekalan global.

Sebanyak 36 pencalonan diterima merentasi empat kategori utama iaitu Smart SME, Smart Mid-Tier, Technology Excellence and People Excellence.

Daripada jumlah tersebut, 27 pemenang telah dipilih berdasarkan pencapaian mereka dalam transformasi digital, kecekapan operasi dan inovasi mampan.

Dalam ucaptama beliau, Zafrul memuji para pemenang kerana memainkan peranan penting dalam memajukan industri negara.

“Malaysia Smart Manufacturing Awards merupakan platform penting dalam mengiktiraf dan memberi inspirasi kepada jaguh tempatan yang memacu inovasi dan digitalisasi. Saya mengiktiraf komitmen kukuh MIDF, Bizsphere dan Smart4WRD dalam memperkukuh ekosistem pembuatan pintar Malaysia sambil menyokong aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Inisiatif seperti ini amat penting dalam mempercepat transformasi Malaysia menuju hab pembuatan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi demi kesejahteraan rakyat dan perniagaan,” katanya.

Penyertaan penyedia penyelesaian teknologi tempatan menyerlahkan kekuatan Malaysia yang semakin berkembang dalam inovasi teknologi, dengan banyak syarikat tempatan kini menawarkan penyelesaian yang memenuhi atau mengatasi piawaian global.

Pengerusi MIDF Tan Sri Abdul Rahman Mamat, berkata anugerah ini bukan sahaja sebagai pengiktirafan tetapi juga pemangkin kepada transformasi industri yang lebih meluas.

“Melalui Malaysia Smart Manufacturing Awards, kita bukan sahaja mengiktiraf pencapaian, tetapi turut membina momentum untuk penambahbaikan berterusan dalam sektor pembuatan. Dengan memperkasa pengeluar tempatan untuk berinovasi dan mengamalkan teknologi pintar, kita memperkukuh asas ekosistem perindustrian Malaysia dan menyokong aspirasi nasional untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030,” ujar beliau.

MSMA terus berperanan sebagai platform kolaboratif utama bagi kerjasama awam-swasta, memupuk perkongsian ilmu, menggalakkan inovasi dan mempromosikan amalan pembuatan yang lebih pintar dan mampan merentasi pelbagai industri.

Source: Utusan Borneo Online